APRIL 2024

Mekanisma Bangunkan Sekolah, Klinik Daif Sarawak Sedang Dikaji


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji mekanisma membangunkan sekolah dan klinik daif atau terbengkalai di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian  itu juga merangkumi bagaimana Kerajaan Pusat membayar balik kepada Kerajaan Sarawak yang membangunkan klinik dan sekolah terbabit menggunakan dana negeri.

"Langkah ini mempercepatkan perkara sangat  mustahak iaitu klinik termasuk rumah pegawai, jururawat dan sebagainya. Sekolah termasuk juga kuarters untuk  keselesaan guru," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, ini kerana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bahasa bidang kuasa pendidikan dan kesihatan adalah tangungjawab Kerajaan Pusat.

"Dari segi pentadbiran, sudah dipersetujui antara Perdana Menteri  dengan saya," katanya.

Beliau berkata di peringkat pegawai Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat pula mereka sudah bersetuju dengan cara-cara  ini dan sebuah jawatankuasa ditubuh.

Jawatankuasa ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Ketua Setiausaha ( KSU) Kementerian Pendidikan dan KSU Kementerian Kesihatan.